Sejarah Makkah dan Kaabah

21 Jul

Makkah berasal daripada kalimah ‘Bakkah’ ertinya tanah lembah yang dikelilingi deretan bukit batu. Di sana telah wujud satu binaan paling awal yang penuh dengan keberkatan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“sesungguhnya rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadah kepada Tuhannya) ialah BAITULLAH yang di Makkah, yang barakah dan dijadikan petunjuk bagi umat manusia. Di situlah ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaanya, antaranya ialah Maqam Ibrahim). Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. (surah al-Imran:96-97)

Mengikut setengah riwayat, bahawa Baitullah atau Kaabah al-Musyarrafah dibina oleh malaikat dijadikan sebagai tempat tawaf dengan tujuan untuk kaffarah atau menebus dosa atas ketelanjuran mereka memprotes tidak setuju Nabi Adam a.s dijadikan sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Firman Allah:

dan (ingatlah) ketika TuhanMu berfirman kepada malaikat, ‘sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’, mereka berkata, ‘adakah Engkau (wahai Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami (para malaikat) sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?’ Tuhan berfirman, ‘sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (surah al-Baqarah:30)

Para malaikat telah menyesali atas ketelanjuran mereka seolah-olah tidak bersetuju Nabi Adam a.s dijadikan sebagai khalifah di muka bumi, lalu mereka telah menebus dosa mereka (melakukan kaffarah) dengan tawaf atau mengelilingi ‘Arasy. Oleh kerana ‘Arasy itu tersangat luas mungkin hingga hari kiamat tidak selesai juga tawaf yang mereka lakukan, maka Allah s.w.t pun mencipta suatu binaan lain yang lebih kecil dan sesuai untuk para malaikat melakukan tawaf dinamakan ‘Baitul Ma’mur’.

Apakah komposisi Baitul Ma’mur itu tidaklah dijelaskan oleh Allah, tetapi itulah tempat tawaf bagi para malaikat di langit bagi menggantikan ‘Arasy. Dan kedudukan Baitul Ma’mur itu dikatakan betul-betul di bawah ‘Arasy.

Namun begitu setiap malaikat hanya dapat melakukan tawaf secara bergilir-gilir mengelilingi Baitul Ma’mur itu hanya sekali kerana jumlah mereka terlalu ramai.

Kemudian, bagi para malaikat yang bertugas di bumi, maka Allah telah menyuruh mereka agar membina suatu binaan yang fungsinya menyamai fungsi Baitul Ma’mur  di langit, iaitu sebagai tempat tawaf bagi mereka di bumi. Itulah Baitullah atau KAABAH yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram di Makkah. Ia dikatakan selari dengan kedudukan ‘Arasy di langit.

Kemudian dikatakan, apabila Nabi Adam dan Hawa ‘alaihimassalam bertemu di Jabal Rahmah, sebuah bukit di Arafah, iaitu setelah kedua-duanya terpisah sekian lama – yakni setelah dikeluarkan dari syurga kerana makan buah larangan, maka mereka berdua telah pergi ke Makkah, lalu bertawaf atau mengelilingi Kaabah yang telah wujud di sana. Dan, mereka berdua itulah yang mula-mula tawaf daripada kalangan manusia.

Setelah berlaku ratusan bahkan ribuan tahun sejak Kaabah itu dibina oleh malaikat di bumi Makkah, maka Allah s.w.t. telah menitahkan kepada Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya Nabi Ismail untuk membina semula Kaabah setelah berlaku kerosakkan dan memakmurkan Makkah sebagai pusat ibadah dan kota suci umat Islam. Beberapa  tahun sebelum itu, Ismail bersama ibunya Hajar diletakkan di sisi Kaabah, sedangkan Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan mereka berdua kerana Baginda a.s terpaksa pulang ke Palestin yang telah ramai penduduk, perlu diberi dakwah dan ditarbiah untuk menjadi insan beriman serta bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Sebelum meninggalkan mereka berdua, Nabi Ibrahim a.s. berdoa:

“Wahai Tuhanku, aku telah menempatkan sebahagian daripada keluargaku di sebuah lembah (tanah suci Makkah) yang tandus tiada tumbuh-tumbuhan di sana, di sisi RumahMu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan, semoga mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim:37)

Ya Makkah, waktu itu sebagai bumi yang tandus, tiada air dan tiada tumbuh-tumbuhan. Di sana juga tidak mempunyai penghuni. Nabi Ibrahim telah berdoa:

“Wahai Tuhanku, jadikanlah (negeri Makkah) ini sebagai negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat di antara mereka.” (Surah al-Baqarah:126)

Alhamdulillah berkat doa Nabi Ibrahim a.s dan berkat ketaqwaan serta kesabaran Hajar, akhirnya telah wujud “Telaga Zamzam” yang airnya tidak putus-putus, dan Makkah mula dikunjungi orang. Kemudian akhirnya, ia telah menjadi sebuah kota suci yang aman dan makmur, sentiasa dikunjungi oleh umat Islam dari seluruk pelusuk muka bumi sepanjang tahun, kerana mengerjakan umrah dan lebih-lebih lagi pada bulan-bulan haji, mereka menunaikan ibadah haji sebagai kemuncak rukun Islam yang lima.

Makkah ialah tempat kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dan di sana juga Baginda s.a.w dilantik menjadi Rasul atau Utusan Allah, dan seterusnya berdakwah kepada kaumnya selama 13 tahun.

Kemudian, Baginda s.a.w berhijrah ke Madinah ketika usianya genap 53 tahun. Ketika di Makkah, wahyu yang diturunkan lebih menitikberatkan masalah dalaman (aqidah dan kepercayaan) dan semasa Rasulullah s.a.w berada di Madinah, wahyu adalah menyentuh aspek syariah yang meliputi bidang ibadah, pembinaan keluarga dan masyarakat serta Negara, ekonomi, ketenteraan, hubungan dalam negeri dan antarabangsa dan lain-lain lagi. Rasulullah s.a.w wafat di Madinah dalam usia 63 tahun dan dimaqamkan di sana.

Beberapa tahun sebelum itu, yakni pada tahun 8 Hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 10,000 umat Islam yang datang dari Madinah telah menakluk semula Makkah. Ia telah dibersihkan daripada kekotoran syirik. Kerana di Makkah itu terletaknya Kaabah atau Baitullah yang menjadi qiblat umat Islam seluruh dunia. Baitullah juga menjadi tumpuan manusia dari seluruh pelusuk dunia untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah.

Petikan dari Buku Bimbingan Umrah & Ziarah – susunan Ustaz Haji Safwan Fathy

 

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: