Nasihat Penting Semasa di Tanah Suci

13 Jan

Assalamualaikum wbt.

Beruntunglah mereka yang dapat ke tanah suci kerana berpeluang meraih gandaan pahala yang berlipat kali ganda  semasa beribadah di sana. Semasa berangkat dan ketika berada di tanah suci kita hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah.  Seperti sabda Nabi s.a.w maksudnya:

“Bertaqwalah kepada Allah di mana saja kamu berada, dan iringilah dengan amal kebajikan setelah engkau berbuat kejahatan (dan engkau telah bertaubat) tentu ianya akan menghapuskan kejahatan tersebut. Dan berakhlaklah dengan akhlak yang baik terhadap manusia.”

Pergantungan hanya kepada Allah

Semasa menjadi Tetamu Allah, perkara utama yang mesti kita set dalam minda ialah segala-galanya hendaklah kita letakkan Pergantungan kita kepada Allah 100%, bukannya sesama makhluk. Apa pun yang bakal terjadi, letakkan Allah di tempat yang paling utama. Andai kata tersesat atau terpisah dari rakan-rakan jemaah yang lain, jangan panik. Solat sunat 2 rakaat dan berdoa semoga Allah beri kita jalan keluar. Jangan kita menyalahkan orang lain (rakan jemaah atau Mutawwif) dengan marah-marah tak tentu pasal. Ingat iblis itu sentiasa berusaha merosakkan kerja ibadah Umrah kita. Jaga adab sopan kita sebagai Tetamu Allah. Bersabarlah atas segala ujian atau kesusahan yang mungkin kita alami semasa di sana.  Anggaplah ianya terlalu kecil jika nak dibandingkan dengan orang-orang yang terdahulu dari kita.

Berbaik sangka kepada Allah dan kepada manusia

Kita juga hendaklah selalu berbaik sangka kepada Allah dan berbaik sangka sesama Muslim. Kita kena yakin Allah akan memperkenankan segala doa dan ibadah kita di tanah suci. Bagaimana doa nak dimakbulkan sekiranya kita sendiri tidak yakin kepada Allah. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh. Seperti anak kecil yang menangis meminta bersungguh-sungguh supaya ayahnya membelikannya sesuatu yang dikehendaki. Kerana permintaan yang bersungguh-sungguh, maka ayahnya pun memperkenankannya. Apatah lagi kita kepada Allah. Kita kena sentiasa yakin dan berbaik sangka bahawa Allah akan memperkenankan permohonan doa kita.

Begitu juga hubungan kita sesama Muslim, tidak kira sesama negara atau berlainan negara. Jalinlah hubungan persaudaraan seberapa ramai yang boleh. Elakkan dari marah, benci dan tidak menegur sapa khususnya sesama jemaah sebilik atau jemaah serombongan. Sentiasa bersifat sabar, lapang dada, ringan tulang dan suka menolong orang serta suka bersedekah sekadar yang mampu. Jaga tutur kata terutama dalam perbualan yang berbentuk umpat keji, fitnah atau memburuk-burukkan saudara sesama Islam.

Kekalkan solat fardhu berjemaah

Cuba semampu yang boleh untuk kekalkan solat fardhu dengan berjemaah di Masjidil Haram Makkah atau di Masjid Nabawi di Madinah. Semasa ikhtikaf di dalam masjid pula, gunakan masa lapang dengan sebaik-baiknya  dengan berzikir, beristighfar, membaca al-quran, selawat ke atas Nabi, berdoa (khususnya di tempat-tempat istijabah  atau mudah dimakbulkan doa). Perbanyakkan melakukan Tawaf Sunat semasa di Masjidil Haram. Malah memperbanyakkan Tawaf Sunat itu itu lebih afdhal dari memperbanyakkan ibadah Umrah. Jika mampu, lakukan Qiamualail (solat malam) di Masjidil Haram. Ketika saat ramai orang lena di buai mimpi ketika itulah kita bermunajat kepada Allah, memohon keampunan atas dosa-dosa kita yang telah lalu.

Jaga Kesihatan

Kesihatan tubuh badan amat mustahak ketika di tanah suci. Tubuh yang sihat membolehkan kita untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah. Jangan dipaksa diri untuk memperbanyakkan Umrah, misalnya andai tubuh badan kita tidak mampu melakukannya. Memadai memperbanyakkan Tawaf Sunat kerana ianya lebih afdhal. Berdoalah semoga Allah memberi kita kekuatan dan kesihatan yang baik semasa berada di tanah suci. Jangan lupa ubat-ubatan andai kita mempunyai penyakit tertentu seperti kencing manis dan sebagainya.

Selamat Menunaikan Ibadah Umrah. Jumpa Lagi.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: