Umrah bersama Group Umaira (Kak Ton)

8 Sep

Salam Idil Fitri.

Pagi ni saya terima email dari sahabat saya Cikgu Abd Rahman dari Johor Bharu. Beliau ialah ahli rombongan Umrah saya bersama Group Umaira pada bulan Mac 2011 yang lalu. Email beliau mengandungi gambar2 semasa kami berada di tanah suci baru2 ni.

Justeru itu saya suka mengimbau kenangan membawa rombongan Umrah ketika bersama2 beliau. Rombongan ini ditaja sepenuhnya oleh Puan Zaiton binti Hassan, pemilik syarikat Pravenus Beauty iaitu syarikat yang memasarkan Produk Kesihatan Umaira. Puan Zaiton atau lebih mesra dipanggil Kak Ton ini selalu muncul di TV1 rancangan “Selamat Pagi Malaysia” setiap Selasa jam 8.50 pagi menceritakan mengenai Produk Kesihatan beliau.

Atas rasa kesyukuran kepada Allah kerana perniagaannya yang semakin berkembang, maka beliau telah menaja ramai outletnya menunaikan Umrah bersama-sama beliau. Inilah pertama kali saya berjumpa dengan seorang dermawan yang tidak lokek membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Beliau telah menaja 50 orang menunaikan Umrah yang terdiri daripada ahli-ahli keluarga beliau dan juga individu yang meraih jualan tertinggi produk kesihatan beliau termasuklah diri saya dan isteri. Saya dapat lihat kepuasan di wajah beliau apabila saya akur dengan kehendak beliau menaja saya dan isteri. Malu rasanya, sebab saya ni pengendali pakej.

Gambar kenangan jemaah di dalam pesawat Saudi

Pemergian kami ke tanah suci menaiki penerbangan Saudi terus ke Madinah. Semasa di Madinah, kami tinggal di Hotel Fayrooz Shatta, lokasi yang paling hampir dengan masjid. Sungguhpun hotel ini dekat tetapi ada juga rungutan dari jemaah khususnya yang berkaitan dengan dewan makan yang sesak. Tambahan pula pada masa itu, Madinah didatangi oleh ramai jemaah dari seluruh dunia. Untuk mendapatkan bilik hotel begitu payah sekali. Perancangan asal kami menginap di Hotel Durrat Fayrooz, tetapi ketika sampai di airport Madinah saya dimaklumkan hotel tersebut penuh dan digantikan dengan Hotel Fayrozz Shatta. Itulah orang Arab, perubahan boleh dilakukan sesuka hati mereka dan yang menjadi mangsa jemaah. Berkali-kali Kak Ton memohon maaf dari saya atas sikap jemaah beliau yang suka komplen. Terharu hati saya. Sepatutnya saya yang memohon maaf kepada beliau, ni dah terbalik.

Alhamdulillah semasa program ziarah di Madinah, jemaah berpuas hati kerana berjaya melawat kesemua tempat seperti dalam jadual. Saya ucapkan terima kasih kepada semua jemaah kerana mematuhi arahan saya mengenai ketepatan masa dalam setiap lokasi yang kami ziarahi. Kami dapat selesaikan kesemua tempat ziarah seperti Masjid Quba, Kebun Tamar, Jabal Uhud, Kilang Mencetak al-Quran, Masjid Qiblatain, Masjid 7 dan akhir sekali Pasar Kurma sebelum masuk waktu Zohor.

Gambar saya memberi arahan masa sudah tamat semasa ziarah di Kebun Tamar

 Jemaah bergambar kenangan semasa di Jabal Uhud

Oleh kerana jemaah-jemaah Kak Ton datangnya dari seluruh Malaysia, maka untuk memberi Kursus Umrah kepada kesemua mereka amat sukar sekali. Kursus Umrah di pejabat Kak Ton hanya dihadiri oleh beberapa kakitangan Kak Ton sahaja. Dan akhirnya Kursus Umrah terpaksa dilakukan sekali lagi semasa kami semua berada di Madinah. Kursus Umrah dijalankan oleh saya sendiri dan alhamdulillah semasa di Makkah, tiada jemaah yang melakukan kesalahan semasa menunaikan Umrah.

Perjalanan menuju ke Makkah berjalan dengan lancar. Kami singgah di Masjid Bir Ali untuk bermiqat dengan berniat Umrah dan berihram dengannya, dan sempat untuk Solat Asar sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah. Di Dalam bas, sekali lagi saya mengulangkaji pelajaran Umrah bagi memastikan kesemua jemaah benar-benar faham mengenai ibadah Umrah dan hukum-hakam yang berkaitan. Al-maklum kebanyakkan jemaah pertama kali menunaikan umrah.

Bergambar kenangan semasa di Masjid Bir Ali, Madinah

Alhamdulillah kami selamat sampai di Makkah sekitar jam 10 malam dan semua jemaah dapat daftar masuk di Hotel Retaj seperti yang dijanjikan. Saya beri masa 1 jam selepas jemaah daftar masuk untuk berkumpul semula di lobi untuk jemaah meneruskan ibadah Umrah seterusnya iaitu melakukan Tawaf dan juga saie dengan dipimpin oleh seorang Mutawwif. Alangkah girangnya hati jemaah apabila mendapat hotel yang bertaraf bintang dan lokasinya juga begitu hampir dengan Masjid. Tidak kedengaran jemaah yang komplen mengenai hotel penginapan di Makkah. Masing-masing saya lihat gembira dan berpuas hati.

Hotel Retaj dilihat dari Pintu 1 King Malik Abdul Aziz

 Keadaan bilik di Hotel Retaj. Di tingkat Atas ialah tempat tidur

Menginap di hotel bertaraf bintang dalam bangunan Zamzam Tower ini juga mempunyai masalahnya yang tersendiri. Terutamanya apabila melibatkan program ziarah. Bas yang membawa jemaah ziarah tidak boleh parking terlalu lama di kawasan bawah bangunan Zamzam Tower ini. Jemaah harus dikumpulkan dahulu, setelah cukup semua jemaah baru bas boleh memasuki kawasan pengambilan penumpang. Tidak seperti tinggal di hotel biasa, selalunya bas yang menunggu jemaah. Di sini, jemaah yang harus menunggu bas. Ketepatan masa amat penting dalam hal ini. Jemaah yang lewat turun akan mengakibatkan jadual ziarah lewat dari jadual masa yang ditetapkan.

Jemaah sedang mendengar taklimat ketika berkumpul dalam bangunan Zamzam Tower untuk mengikuti program Ziarah di Makkah

Dalam program Ziarah Manasik, biasanya saya yang menjadi Mutawwif tetapi kebetulan sahabat saya Ustaz Ghani ada di Makkah, maka saya rasa beliau lebih “umph” dalam menyampaikan taklimat dalam program Ziarah. Beliau berpengalaman tinggal di Makkah berbelas tahun dan arif mengenai sejarah dan perkembangan semasa di Makkah. Maklumbalas yang saya perolehi dari jemaah, ramai yang berpuas hati dengan penerangan yang disampaikan oleh Ustaz Ghani dan menyatakan di lain masa jika datang lagi ke sini, mereka inginkan Ustaz Ghani sebagai mutawwif ziarah mereka. Syukur alhamdulillah.

Ustaz Ghani sedang memberikan taklimat semasa Ziarah di Jabal Thur.

KELEBIHAN HOTEL RETAJ

Menginap di hotel Retaj benar-benar memuaskan hati jemaah. Selain lokasinya yang dekat dengan masjid, biliknya juga luas seperti tinggal di apartment dengan kemudahan 2 bilik air. Biliknya dilengkapi dengan set sofa, tv yang lekat di dinding, channelnya pula ada siaran langsung Masjidil Haram, ada set meja makan, set cawan dan cerek letrik dan yang menggembirakan jemaah ada speaker di dalam bilik. Jemaah boleh mendengar azan Masjidil Haram melalui corong speaker di dalam bilik. Untuk shopping, di tingkat bawah ialah “shopping mall”, kedai makan pun banyak berhampiran.

Alhamdulillah semasa di Hotel Retaj, saya perhatikan jemaah cukup rajin berulang-alik ke Masjid melaksanakan solat fardhu. Saya rasa tidak ada jemaah yang tercicir solat fardhu di Masjid. Berbeza jika penginapan jauh dari masjid, ramai yang tidak ke masjid terutamanya waktu Zohor ataupun Asar. Saya kesan, ramai juga yang melakukan Qiamulail atau tawaf sunat pada waktu malam. Inilah nikmatnya apabila penginapan terlalu hampir dengan masjid. Untuk ke masjid seorang diri pada waktu tengah malam, tidak timbul rasa takut terutama bagi jemaah wanita.

RUANG MAKAN

Di hotel Retaj, kami tidak makan di Restoran milik hotel kerana selain harganya yang terlalu mahal, menu juga tidak menepati selera jemaah Malaysia. Cuma pihak hotel beri kelonggaran untuk membawa masuk catering pilihan kita dengan syarat kena tempah satu bilik suite untuk dijadikan tempat makan. Alhamdulillah, Kak Ton suka dengan pilihan ini, kerana semua jemaah beliau dapat makan di satu tempat yang selesa dan tidak bercampur dengan jemaah dari syarikat lain. Malah perjumpaan untuk memberi taklimat juga menjadi lebih mudah kerana ada bilik untuk berkumpul.

    

Bilik suite dijadikan dewan makan jemaah

 SERVIS TAMBAHAN

Kami bertuah kerana mendapat seorang petugas menjaga sajian yang begitu baik sekali. Nama beliau Faisal berasal dari Lombok, Indonesia. Beliau secara sukarela menawarkan khidmat menghantar pakaian kotor untuk dihantar dobi di kawasan yang jauh dari Haram. Al-maklumlah servis dobi di kawasan Haram begitu mahal sekali. Yang saya kagum, beliau langsung tidak meminta upah dan harga dobi juga mengikut yang dikenakan oleh kedai dobi. Sikit pun beliau tidak “mark up”. Tetapi atas keikhlasan beliau, ramai jemaah yang menyumbangkan derma kepadanya walaupun beliau tidak pernah memintanya. Dalam hati saya berkata-kata, beliau membantu dapat pahala, dan jemaah yang menderma kepada beliau juga dapat pahala. Inilah berkat keikhlasan.

Sepanjang perkenalan saya dengan Kak Ton, beliau rupanya kuat beramal. Banyak wirid dan zikir yang diajar beliau kepada isteri saya. Dan sekembali dari Umrah hingga kini, saya dapati isteri saya kerap berzikir sambil memegang tasbih walaupun berada di dalam kereta bersama saya. Syukur saya panjatkan kehadrat ilahi kerana kami dapat berkenalan dengan seorang insan yang dipanggil Kak Ton. Sudahlah kehidupan dunia berjaya, amalannya juga lebih hebat dari kami. Sebab tu Allah sayang dengan hambaNya yang tahu bersyukur.

Saya berdoa semoga perniagaan Kak Ton semakin bertambah maju dan hidup dalam limpahan keberkatan dari Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.

Dan tidak lupa saya ucapkan terima kasih kepada Cikgu Abd Rahman atas kiriman gambar2 yang boleh saya muat turun dalam tulisan blog saya ini.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: