Aturcara Umrah Bersama Imam Besar Masjid Negeri

23 Nov

Assalamualaikum wbt.

Setelah menerima detail flight Pakej Umrah Bersama Ustaz Ahmad Mustafa, rupa-rupanya tempoh perjalanannya ialah 14 hari dan 12 malam, tidak seperti rencana asal 12 hari dan 10 malam. Namun harga tidak bertambah, tetap RM5388 seorang. DZ Travel bercadang untuk membawa 40 orang jemaah sahaja dipimpin oleh Ustaz Ahmad Mustafa dan masih ada kekosongan tempat lagi.

Berikut ialah aturcara perjalanan Umrah di atas sebagai panduan bagi bakal-bakal jemaah.

HARI 1 – 16hb Mac 2012 (Jumaat)

Bermula jam 3.15 pagi kapalterbang Kuwait Airways akan berlepas jam 3.15 pagi dari KLIA. Jemaah dinasihatkan lapor diri 3 jam sebelum waktu berlepas iaitu jam 11.30 malam 15hb Mac 2012, bersamaan Khamis. Flight dijangka tiba di Kuwait pada jam 6.25 pagi (waktu tempatan) dan berlepas semula ke Jeddah jam 9.25 pagi, transit 3 jam sahaja. Semasa transit, jemaah dinasihatkan menukar pakaian ihram mereka, dan dibolehkan untuk berniat Umrah semasa di Kuwait atau sebaik flight berlepas ke Jeddah. 

Flight dijadualkan tiba di airport Jeddah jam 11.35 pagi. Selepas urusan imigresen dan pengambilan bagasi, jemaah akan terus dibawa ke Makkah. Sebaik tiba di Makkah, selepas check in di Hotel Qamar, kira-kira 1 jam kemudian, jemaah akan dibawa melakukan tawaf dan saie dengan dipimpin oleh Mutawwif.

Oleh kerana jemaah tiba pada waktu siang di Makkah, dijangkakan ibadah Umrah selesai dilaksanakan pada hari yang pertama lagi.

Jemaah dijangka “check in” di Hotel Qamar, 120 meter dari Masjidil Haram

HARI 2 – 17hb Mac 2012 (Sabtu)

Oleh kerana jemaah baru sahaja selesai melakukan ibadah Umrah, maka hari ke-2 adalah acara bebas iaitu jemaah bebas untuk melakukan solat fardhu 5 waktu di Masjidil Haram.

HARI 3 – 18hb Mac 2012 (Ahad) – PROGRAM ZIARAH MANASEK HAJI

Selepas sarapan pagi, jemaah dibawa menaiki bas ke Jabal Thur kira-kira 5km dari bandar Makkah. Jabal Thur ialah lokasi Nabi saw bersama Saiyidina Abu Bakar bersembunyi 3 hari dan 3 malam semasa diburu oleh Musyrikin Makkah dalam proses penghijrahan baginda ke Madinah. Setiap kali saya sampai di sini, pasti rasa sayu di hati saya, memandangkan Jabal Thur ialah bukit yang tinggi, berbatu-batan dan tiada tumbuh-tumbuhan. Terbayang kesukaran baginda menaiki bukit Thur pada usianya 53 tahun dalam keadaan dikejar musuh. Saya sendiri belum pasti mampu memanjat bukit tersebut.

Jabal Rahmah (tempat pertemuan Adam dan Hawa)

Lokasi seterusnya ialah Jabal Rahmah di Padang Arafah iaitu lokasi jemaah haji berwukuf semasa melakukan kerja haji. Jabal Rahmah atau “Bukit Kasih sayang” ialah bukit tempat pertemuan Nabi Adam a.s bertemu isterinya Hawa setelah sekian lama berpisah. Bagi jemaah yang pertama kali, biasanya saya galakkan untuk naik ke Jabal Rahmah. Di puncak Jabal Rahmah, ada satu Batu Putih yang mengikut riwayat itulah ketinggian sebenar Nabi Adam a.s. Wallahualam. Dan kita boleh melihat saujana mata memandang bumi Arafah yang terbentang luas. 

Selepas itu jemaah dibawa melewati Muzdalifah (salah satu tempat jemaah haji mabit atau bermalam) dan seterusnya ke Mina. Sekarang ini jemaah hanya boleh melihat kawasan Jamrah (tempat melontar) di Mina dari jauh dan di dalam bas sahaja kerana bas tidak dibenarkan masuk. Selanjutnya jemaah dibawa ke Masjid Jaaranah yang terletak kira-kira 32km dari Makkah. Jemaah yang ingin melakukan Umrah, boleh menukar pakaian ihram di sini dan berniat Umrah. Kembali semula ke Makkah, singgah sebentar di kawasan Jabal Nur (Gua Hira’). Biasanya bas tidak lama di sini. Jemaah boleh turun dari bas untuk mengambil gambar.

Program ziarah ini akan tamat sebelum masuk waktu Zohor. Sebaik tiba di hotel, jemaah yang sudah berniat Umrah boleh meneruskan tawaf dan saie mereka. Cuma jika tidak tahan dengan panas, ibadah tersebut boleh ditangguhkan pada waktu malam, cuma kena jaga 13 pantang larang dalam ihram.

HARI 4 – 19hb Mac 2012 (Isnin). Jemaah bebas melakukan solat 5 waktu di Masjidil Haram.

HARI 5 – 20hb Mac 2012 (Selasa) – PROGRAM ZIARAH TAMBAHAN (HUDAIBIYAH)

Unta jinak dan manja, malah suka bergambar dengan jemaah

Jemaah akan dibawa melawat Ladang Unta dalam perjalanan ke Masjid Hudaibiyah. Jemaah boleh merasai kelazatan meminum susu Unta segar, dan jika berhajat untuk membeli susu Unta, biasanya sebotol susu Unta saiz 500ml dijual pada harga SR 5 sahaja. Untuk bergambar dengan unta juga tidak jadi masalah. Kebanyakkan unta-unta di sini suka dan pandai bergambar. Tak caya, lihat sahaja foto di atas.

Kemudian, jemaah dibawa ke Masjid Hudaibiyah iaitu lokasi berlakunya Perjanjian Hudaibiyah. Jemaah yang ingin melakukan Umrah boleh berniat Umrah dan menukar pakaian ihram di sini.

Kembali semula ke Makkah, jemaah akan dibawa melawat Muzium Haramain iaitu muzium yang menyimpan khazanah milik 2 masjid utama iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah. Jemaah dibenarkan mengambil gambar semasa melawat Muzium ini, tetapi dilarang menyentuh sebarang objek pameran.

HARI 6 HINGGA HARI 9 (21hb Mac hingga 24hb Mac 2012)

Jemaah boleh melaksanakan ibadah Umrah dengan mengambil Miqat yang terdekat di Tanaem.

Kenangan bersama rakan sekolej dan universiti di Masjid Tanaem, selepas berniat Umrah

HARI 10 – 25hb Mac 2012 (Ahad) MENINGGALKAN MAKKAH MEMASUKI MADINAH

Jemaah dinasihatkan melakukan Tawaf Wada’ (tawaf selamat tinggal) selepas sarapan pagi. Ini kerana selepas itu, jemaah akan dibawa menaiki bas menuju ke Madinah. Walaupun di Madinah tiada ibadah Umrah, tetapi kita ke sana kerana menziarahi Makam Nabi Muhammad s.a.w. Malah Nabi berpesan sesiapa yang melakukan Haji dan Umrah tidak mahu melawatnya, dikatakan orang yang sombong, sedangkan kita mengharapkan Nabi memberi syafaat di akhirat kelak.

Perjalanan lazimnya akan mengambil masa 6 jam, bergantung kepada corak pemanduan driver bas. Sebaik tiba di Madinah, jemaah terus “check in” hotel dan dijangka boleh menunaikan Solat Maghrib dan Isyak di Masjid Nabawi.

Kawasan Dataran Masjid Nabawi menjelang Maghrib

HARI 11 – 26 Mac 2012 (Isnin) ZIARAH DALAM

Selepas sarapan pagi, jemaah dibawa melawat kawasan Perkuburan Baqi dan selepas itu memasuki kawasan Raudhah dalam Masjid Nabawi yang di dalamnya terdapat Makam Nabi, Mihram Nabi, Mimbar Nabi, Tiang Taubat, Tiang Aisyah dan Tempat Muazzin. Raudhah ialah kawasan suci tempat makbul doa. Jemaah akan ditunjukkan sempadan sebenar kawasan Raudhah dan digalakkan ikhtikaf di kawasan tersebut. Bagi jemaah wanita untuk memasuki Raudhah terikat kepada zon masa yang dibenarkan, manakala lelaki boleh melawat sebarang masa.

HARI 12 – 27 Mac 2012 (Selasa) ZIARAH LUAR MADINAH

Selepas sarapan pagi, jemaah dibawa menaiki bas menuju ke Masjid Quba iaitu masjid yang pertama didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Jemaah dinasihatkan mempunyai wuduk untuk ke Quba kerana ada hadis Nabi yang menyatakan sesiapa yang bertolak dari kediamannya dan solat 2 rakaat di Masjid Quba akan mendapat pahala umrah.

Selepas itu, driver bas akan membawa jemaah ke Kebun Tamar di kawasan Quba. Harga kurma di sini secara relatifnya lebih mahal berbanding di Pasar Kurma. Biasanya masa yang diberikan sekitar 30 minit di kawasan ini.

Kemudian jemaah akan dibawa ke kawasan berlakunya Peperangan Uhud untuk melawat Makam Syuhada Uhud sebelum menuju ke Kilang mencetak al-Quran (dengan izin). Hanya jemaah lelaki dibenarkan memasuki kawasan kilang dan biasanya ketika keluar akan dihadiahkan senaskah al-Quran. Manakala jemaah wanita boleh memasuki kawasan Galeri menjual al-Quran yang terletak di sebelah luar kawasan kilang.

Selanjutnya jemaah dibawa ke Masjid Qiblatain (masjid 2 kiblat). Biasanya jemaah tidak solat di masjid ini kerana tiada sebarang keistimewaan masjid ini berbanding Masjid Quba. Cuma berdasarkan sejarah di masjid inilah turun ayat al-Quran yang memerintahkan supaya arah kiblat ditukar ke arah Masjidil Haram yang sebelumnya Baitul Maqdis.

Perjalanan diteruskan ke Masjid Tujuh iaitu lokasi berlakunya Peperangan Khandak (Parit). Jemaah tidak turun dari bas, cuma melaluinya sahaja sebelum menuju ke Pasar Kurma.

Program ziarah ini akan selesai sebelum masuk waktu Zohor dan jemaah dinasihatkan supaya mematuhi arahan ketetapan masa ziarah di setiap lokasi bagi memastikan semua tempat ziarah boleh dilawati.

HARI 13 – 28hb Mac 2012 (RABU) MENINGGALKAN MADINAH MENUJU JEDDAH

 Selepas melakukan Ziarah Wada’ iaitu menziarahi Makam Nabi, jemaah akan “check out” hotel Madinah dan terus menuju ke Jeddah untuk urusan keberangkatan pulang. Jemaah dinasihatkan membawa pulang bagasi tidak lebih dari 30kg (tidak termasuk air zamzam 10 liter) seorang kerana dibimbangi lebihan bagasi akan dicaj oleh pihak penerbangan.

Flight dijadualkan berlepas dari Jeddah pada jam 5.10 petang dan transit sebentar di Kuwait sebelum meneruskan perjalanan ke KLIA

HARI 14 – 29hb Mac 2012 (KHAMIS) TIBA DI KLIA

Flight dijangka sampai di KLIA pada jam 12.30 tengah hari.

Bagi setiap aturcara program di atas, semuanya tertakluk kepada pindaan tarikh terutamanya program Ziarah Tambahan Hudaibiyah. Ianya tertakluk kepada kelulusan permit untuk melawat Muzium Haramain yang mungkin diperolehi tidak pada tarikh yang dirancang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: