Menjadi Tetamu Allah – Impian menjadi kenyataan

3 Feb

Assalamualaikum wbt.

Alangkah gembiranya kita saat memasuki Kota Suci Makkah dengan berpakaian ihram, menaiki bas yang berhawa dingin, melihat deretan bangunan dan juga keadaan lalu lintas yang riuh dengan bunyi kenderaan. Tak sabar rasanya untuk sampai ke hotel penginapan dan seterusnya meneruskan ibadah Umrah dengan bertawaf dan bersaie. Dan sebaik sahaja mata melihat Masjidil Haram dari dalam bas, hati merasa bertambah takjub dan teruja. Impian selama ini untuk menjadi Tetamu Allah telah diperkenankan oleh Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah atas nikmat yang tidak terhingga ini. Hati bertambah takjub sehingga meremang bulu roma saat pertama kali melihat Kaabah. Kaabah yang selama ini menjadi kiblat kita, tegak berdiri megah di depan mata. Sehingga ada jemaah yang bercucuran air mata kegembiraan saat mula terpandang Kaabah yang tersergah indah. Timbul satu perasaan indah yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Rasa tenang, tenteram, selamat semuanya bercampur..Lupa seketika anak isteri dan masalah yang berserabut dalam kotak fikiran kita sebelum ini. Tanyalah kepada sesiapa yang pernah menunaikan Umrah. Sukar diungkapkan dengan kata-kata perasaan indah saat mula melihat Kaabah.

Betapa agungNya Allah. Manusia tidak putus-putus mengingati Allah pada setiap detik. Kita saksikan orang tawaf tidak putus-putus (non-stop) sepanjang masa mengelilingi Kaabah membesarkan Allah. Hanya berhenti tawaf seketika, saat solat fardhu berjemaah dilaksanakan. Selepas solat, manusia meneruskan tawaf semula. Kita jangkakan keadaan orang yang tawaf semakin berkurangan menjelang tengah malam hingga ke subuh pagi. Rupa-rupanya semakin bertambah ramai orang yang tawaf di saat manusia lain tidur enak dibuai mimpi. Berbeza sungguh suasana di Masjidil Haram ini berbanding di tempat lain.  

Dan bayangkan jika kita naik ke angkasa lepas, kita akan menyaksikan manusia mengelilingi Kaabah dari jarak dekat dan jauh hingga beribu-ribu batu. Setiap kumpulan mengangkat Takbir silih berganti, ruku’ dan sujud bergilir-gilir dalam tempoh 24 jam. Allah sentiasa diagungkan, dipuji dan dipuja oleh hamba-hambaNya yang beriman.

Pada saat itu kita menyedari betapa kerdil dan hinanya kita. Jangankan pada setiap detik, dalam seminggu atau sebulan nama kita jarang disebut orang. Itu pun jika di depan kita disebut dengan sebutan yang baik, tetapi di belakang kita ? 

Alangkah teruja dirasakan saat kita mulakan kaki melangkah memulakan tawaf. Kita dapat lihat manusia tidak mengira bangsa, paras dan rupa sama-sama melakukan tawaf membesarkan Allah. Dan pelbagai bahasa boleh kita dengar semuanya membawa maksud memuji dan mengagungkan Allah.

Tetapi tahukah kita mengapa kita melakukan tawaf ? Atau tahukah kita sejarah tawaf dan juga sejarah Kaabah yang sebenarnya ? Siapa yang mula-mula melakukan tawaf ? Sejak bila ?

Tunggu …..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: