Jejak Rasul – Jabal Nur dan Gua Hira’

12 Mar

Assalamualaikum wbt.

Sepanjang 19 tahun terlibat secara langsung dalam industri Umrah, belum pernah saya menaiki Jabal Nur. Walaupun saya selalu membawa jemaah Ziarah Manasek di Makkah yang diakhiri dengan melihat Jabal Nur dari kejauhan, tidak terlintas di fikiran saya untuk menaiki Jabal Nur yang di atasnya terletak Gua Hira’. Sejarah Islam mencatatkan di Gua Hira’ wahyu pertama diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

Perkenalan saya dengan seorang jemaah Kak Zaiton Hassan, pengasas produk Kesihatan Beauty Umaira mengubah segalanya. Dari perasaan tidak yakin untuk mendaki Jabal Nur, kali ini saya begitu teruja untuk menaikinya. Sebelum datang ke tanah suci pada tahun ini, hampir setiap hari saya “training” dengan berjogging selepas Subuh bagi memastikan saya tiada masalah untuk mendaki.

Bergambar kenangan bersama Kak Zaiton dan jemaah di puncak Jabal Nur

Bayangkan Kak Zaiton yang sudah berumur 55 tahun, berkobar-kobar untuk menaiki Jabal Nur. Malu rasanya jika saya tidak menyahut cabaran ini. Apabila saya “offer” kepada jemaah DZ Travel untuk menaiki Jabal Nur, ramai juga yang mahu menyertainya. Yang mengejutkan seorang jemaah wanita yang sudah berusia 58 tahun turut sama menyertainya. Katanya, ” saya sudah menggunakan produk kesihatan Umaira dan tahap kesihatan saya bertambah baik, dan kali ini saya nak cuba samada saya mampu atau tidak untuk panjat Gua Hira’ pada usia saya sebegini”.

Ketika sampai di kaki Jabal Nur, kelihatan begitu ramai jemaah yang mendaki Jabal Nur. Yang lebih mengejutkan ketika saya memulakan pendakian, saya lihat ramai juga jemaah yang tua dan bertongkat turut sama mendaki. Wanita tua dan bertubuh besar atau gemuk juga turut sama mendaki. Kanak-kanak perempuan yang comel (saya agak berusia 7 tahun) dipimpin oleh atuknya yang penyayang turut sama mendaki Jabal Nur. Terus saya teringatkan anak saya yang bongsu Adiba Zawana yang berusia 8 tahun. saya berkata dalam hati “alangkah baiknya jika dia ada bersama saya ketika ini”. Benar-benar jiwa saya tersentuh melihat semua ini. Tambahan pula isteri tidak bersama kali ini. Rasa rindu pada isteri hanya Allah sahaja yang tahu. Allahu Akbar.

Jabal Nur dilihat dari kejauhan amat tinggi sekali. Tetapi apabila saya berada di kakinya, seolah-olah dekat sahaja jaraknya. Bentuknya yang menegak mungkin menyebabkan mata kasar saya menafsirkan begitu. Tambahan pula di sepanjang laluan pendakian telah dibuat anak-anak tangga yang memudahkan pendakian.

Jemaah DZ Travel telah memulakan pendakian. Saya cuba menemani Kak Zaiton untuk sama-sama mendaki. Bimbang juga jika beliau dan rakan-rakan yang seusia dengannya menghadapi masalah untuk mendaki. Kak Zaiton beri isyarat kepada saya untuk saya meneruskan pendakian dan jangan bimbang dengan dirinya. Anak lelakinya Ayman telah lama mendaki. Begitu juga jemaah yang lain. Baru 10 minit mendaki, saya sudah tercungap-cungap. Berhenti sebentar dan kemudian meneruskan pendakian. Dari atas saya lihat Kak Zaiton bersusah payah untuk mendaki. Sama juga seperti saya yang tercungap-cungap barangkali. Untung juga saya bawa sebotol air mineral untuk membasahkan tekak dan menambahkan tenaga.

Di sepanjang laluan pendakian, saya terjumpa ramai peminta sedekah yang duduk di anak-anak tangga pendakian. Ada yang merintih dan merayu meminta sedekah kepada para pendaki, dan ada juga yang sedang menyimen anak-anak tangga turut sama meminta sedekah. Saya cuba juga memberi dengan niat semoga amal jariah yang sedikit ini, Allah akan beri kemudahan dalam pendakian ini. Dan saya percaya Kak Zaiton pasti turut sama memberi dan mungkin kepada semua peminta sedekah di sepanjang laluan pendakian kerana saya kenal peribadinya yang suka menderma.

Benar seperti yang diceritakan oleh kebanyakkan jemaah yang pernah mendaki Jabal Nur, di puncaknya ada orang yang meniaga air. Saya terus “order” teh o panas pada harga SR2 segelas. Mahal SR1 berbanding di bawah. Saya lihat ramai jemaah yang beratur panjang untuk memasuki Gua Hira’. Dan Gua Hira’ hanya boleh menampung 3 atau 4 orang dalam satu masa. Untuk memasuki Gua Hira’, jemaah harus menuruni cerun bukit yang agak curam. Disebabkan ramai sangat jemaah yang beratur untuk memasukinya, saya ambil keputusan untuk memasukinya pada pendakian saya pada masa akan datang.

Saya mengambil masa 40 minit untuk sampai di puncak Jabal Nur. Selang 10 minit kemudian, Kak Zaiton bersama 2 orang rakannya pun sampai. Termasuk jemaah wanita yang berusia 58 tahun turut sama sampai. Syukur alhamdulillah. Jelas tergambar wajah kepuasan dan kegembiraan kerana berjaya sampai di puncak Jabal Nur. Terus Kak Zaiton beritahu saya, “Haji Iqbal pergi order air minuman saya belanja semuanya”, saya gelak sahaja dan terus melakukan seperti apa yang beliau minta.

Hampir 30 minit kami berada di puncak Jabal Nur sambil mengambil gambar kenangan. Untuk turun dari puncak Jabal Nur, tidak mudah seperti yang disangkakan. Keadaan laluan yang curam benar-benar menguji kekuatan kaki dan lutut. Saya terpaksa menuruni anak-anak tangga secara mengereng seperti jalan seekor ketam bagi mengelakkan lutut saya dari terkehel atau terpelecok kerana kecuramannya. Ini kerana apabila melangkah turun, seluruh beban berat badan kita ditampung oleh satu kaki kita yang melangkah turun.

Lega rasanya apabila telah berjaya sampai turun ke bawah. Saya singgah di salah satu kedai yang terletak di kaki Jabal Nur. Saya lihat banyak barangan cenderamata yang dijual selain dari air minuman. Apabila saya menceritakan pengalaman saya mendaki Jabal Nur kepada anak saudara saya yang tinggal di Jeddah yang datang melawat saya, beliau memberitahu sebaiknya pendakian Jabal Nur harus menggunakan tongkat. Ini kerana dengan tongkat itulah yang digunakan untuk menampung beban berat badan kita semasa kita menuruni Jabal Nur. Patutlah saya lihat tongkat banyak dijual di kedai-kedai yang terdapat di kaki Jabal Nur. Itu lah kegunaannya.

Apa pun pendakian Jabal Nur merupakan pengalaman paling manis yang kekal dalam lipatan sejarah hidup saya. InsyaAllah saya akan mendaki sekali lagi bila ada kesempatan. Semoga Allah panjangkan umur saya dan diberi kesihatan dan kekuatan untuk melakukannya sekali lagi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: