Ziarah Wajib – Manasek Haji

17 Apr

Assalamualaikum wbt.

Selama berada di tanah suci Makkah, biasanya agensi travel akan melakukan program Ziarah Manasek Haji. Ziarah ini dianggap program wajib. Tidak boleh tidak. Lokasi yang dilawati ialah kawasan-kawasan tempat kerja haji. Bermula dengan lawatan ke Jabal Thur iaitu tempat Nabi s.a.w bersama sahabatnya Saiyidina Abu Bakar bersembunyi 3 hari dan 3 malam ketika hijrah ke Madinah. Ketika berada di kaki Jabal Thur, sayu rasa hati apabila mengenangkan susah payah Nabi yang ketika itu berusia 50 tahun mendaki bukit yang berbatu-batan dan tiada tumbuh-tumbuhan, lari dari buruan kafir Quraish yang ingin membunuhnya demi menegakkan dakwah Islam.

Kemudian jemaah dibawa melawat bumi Arafah iaitu tempat jemaah haji berwukuf di Arafah. Di Arafah terletaknya Jabal Rahmah (Bukit Kasih Sayang) iaitu lokasi pertemuan Nabi Adam dan Hawa setelah dikeluarkan dari syurga. Ramai jemaah yang percaya di Jabal Rahmah ini tempat yang sesuai untuk berdoa memohon ditemukan jodoh. Walaupun tidak ada nas dari al-Quran dan hadis yang menyatakan sedemikian.  Tetapi ada juga jemaah yang menyatakan kepada saya bahawa dia pernah berdoa di atas Jabal Rahmah memohon jodoh untuk anaknya dan Allah makbulkan. Saya cuma tersenyum sahaja. Saya percaya berdoa di dalam Masjidil Haram terutama di Multazam, dalam Hijir Ismail, ketika tawaf, ketika saie dan banyak lagi tempat dalam Masjidil Haram lebih mustajab berbanding di Jabal Rahmah. Biasanya saya beri peluang kepada jemaah yang berhajat untuk naik di Jabal Rahmah. Di puncak Jabal Rahmah kita boleh lihat saujana mata memandang keluasan bumi Arafah. Di kawasan Arafah ini juga ramai jemaah tidak mengira usia menikmati kelazatan ais krim yang dijual oleh peniaga. Memang romantik bila melihat pasangan jemaah yang boleh dipanggil datuk dan nenek menikmati ais krim berdua. Di Malaysia malu jika dilihat oleh cucu-cucu.

Dari Arafah jemaah mula bergerak melalui kawasan Muzdalifah iaitu kawasan jemaah mabit atau bermalam di Muzdalifah sambil mengutip anak-anak batu untuk lontaran di Jamrah Kubra untuk lontaran 10 Zulhijjah (Tahalul Awal) dan juga lontaran pada hari 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Di sepanjang laluan jemaah boleh melihat Masjid Namirah yang diguna hanya setahun sekali iaitu pada musim haji. Jemaah juga boleh melihat binaan rel LRT yang baru dibina untuk kegunaan jemaah haji. Cuma yang saya tahu untuk permulaan ini hanya jemaah dari Saudi sahaja yang dibenarkan menggunakan LRT ini. Jemaah haji dari Asia Tenggara masih lagi dengan cara lama iaitu menaiki bas dari Arafah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina.

Laluan ke Muzdalifah ini juga, jemaah boleh melihat binaan saliran air yang panjang dari Arafah ke Muzdalifah untuk kegunaan jemaah haji yang dibina pada tahun 696 Hijrah yang dipanggil Ain Zubaidah sempena nama isteri Khalifah Harun al-Rasyid. Tetapi saliran air ini tidak digunakan lagi. Jemaah boleh melihat binaan Khemah yang kekal bermula dari kawasan Muzdalifah lagi yang seterusnya bersambung sehingga ke Mina iaitu khemah penempatan jemaah-jemaah haji.

Sampai di kawasan Mina jemaah ditunjukkan lokasi yang dimaklumkan sebagai kawasan tempat Nabi Ibrahim melakukan sembelihan anaknya Ismail. Seterusnya jemaah boleh melihat dari jauh kawasan Jamrah iaitu tempat lontaran semasa Hari Tasyik yang kini dibina secara bertingkat. Jemaah juga ditunjukkan bangunan hotel yang bertaraf 6 bintang yang biasanya didiami oleh jemaah haji VVIP. Kabarnya kos untuk tinggal di situ ialah SAR6000 untuk 2 malam atau 3 malam. Dari kejauhan juga jemaah ditunjukkan Terowong Muassem dan juga penempatan jemaah haji Malaysia dan Asia Tenggara.

Lawatan di akhiri dengan singgah ke Masjid Jaaranah yang terletak kira-kira 32km dari tanah haram Makkah. Bagi jemaah yang ingin menunaikan Umrah boleh memakai pakaian ihram dan berniat Umrah di sini. Kunjungan kali ini, saya dapati semua jemaah rombongan saya berniat Umrah di sini. Seronok hati saya apabila melihat jemaah bersungguh-sungguh untuk membanyakkan ibadah di tanah suci. Kami berhenti sebentar di tepi jalan raya dalam perjalanan pulang ke Makkah bagi menunjukkan kepada jemaah Jabal Nur dari kejauhan.

Demi melihat Jabal Nur, jemaah berkobar-kobar menyatakan hasrat untuk mendaki. Akhirnya keputusan dibuat, jemaah akan mendaki Jabal Nur pada waktu malam selepas Solat Isyak. Jemaah tak kenal penat. Sampai di hotel sebelum masuk waktu Zohor, menyelesaikan tawaf dan saie Umrah dan pada malamnya mendaki Jabal Nur. Allahu Akbar.

Yang kelakarnya seorang jemaah cilik  Luqman Zakaria yang berusia 9 tahun seorang diri berlari mendaki Jabal Nur meninggalkan ahli keluarganya dan jemaah yang lain di bawah. Luqman antara  yang mula-mula sampai di puncak sehingga terpaksa Ustaz Uwies Qorni, petugas DZ Travel mengejar Luqman kerana bimbang akan keselamatannya. Semasa turun Luqman terpaksa dipimpin oleh Ustaz Uwies kerana bimbang jika sesuatu yang tidak diingini berlaku. Jam 2 pagi kami semua sudah kembali semula di hotel Safwah Tower. Jam 4 pagi ke Masjidil Haram semula untuk solat Subuh.

Ini yang saya maksudnya dengan keseronokan menguruskan jemaah Umrah. Mudah-mudahan segala ibadah yang dilakukan oleh jemaah mendapat ganjaran yang sebaik-sebaiknya dari Allah. Amin ya Rabbal Alamin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: