Umrah Idaman – Ziarah Dalam Masjid Nabawi

8 May

Assalamualaikum wbt.

Ramai yang bertanya kepada saya sebaik sahaja mendaftar sebagai jemaah Umrah, berkenaan iternary program? Mereka mahu tahu aturcara perjalanan semasa di tanah suci walaupun sudah acapkali menunaikan Umrah. Kebiasaannya aturcara perjalanan disusun mengikut jadual flight ke tanah suci. Dan bilangan malam di tanah suci bergantung juga kepada jadual flight samada 12 hari dan 10 malam atau 13 hari dan 10 malam atau 11 malam.

Aturcara di Madinah

Ada 2 aktiviti utama di Madinah iaitu Ziarah Dalam dan juga Ziarah Luar. Dan tahun ini DZ Travel tambah satu atau dua aktiviti lagi iaitu Jalan-jalan Tambah Iman dan Melawat Muzium Madinah. Kedua-dua aktiviti utama iaitu Ziarah Dalam dan Ziarah Luar Madinah bergantung kepada waktu bila jemaah sampai dan “check in” Madinah. Ziarah Dalam boleh dilakukan pada sebelah pagi atau sebelah malam selepas Isyak, manakala Ziarah Luar Madinah pula lazimnya dilakukan di sebelah pagi sehingga sebelum masuk waktu Zohor.

Kawasan dataran sebelum memasuki Masjid Nabawi

Ziarah Dalam. (Kawasan Raudhah)

Mihrab Nabi dalam Raudhah

Jemaah dibawa menziarahi kawasan Raudhah yang terdapat di bahagian dalam Masjid Nabawi. Raudhah ialah kawasan suci yang penuh barakah dan tempat makbul doa.  Sabda Nabi s.a.w ” suatu ruang di antara rumahku dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga”. Jemaah digalakkan berusaha untuk dapat memasuki Raudhah dengan melakukan solat dan berdoa dengan bersungguh-sungguh kerana Raudhah adalah antara tempat makbul doa.

Sempadan Raudhah tidaklah terlalu luas. Bermula dari Rumah Nabi (Makam Nabi) sehingga ke kawasan mimbar dan juga tempat Muazzin. Dari bahagian hadapan sempadan Raudhah bermula dari Tiang Pertama di kawasan Mihrab Nabi sehingga membawa kepada 4 tiang ke belakang. Dikatakan setiap tiang di kawasan Raudhah mempunyai lingkaran daun emas di atasnya, manakala tiang yang tidak mempunyai lingkaran daun emas ialah bukan Raudhah. Tetapi ada juga yang beranggapan sempadan Raudhah ialah kawasan Permaidani yang berwarna Hijau kerana seluruh kawasan dalam Masjid Nabawi mempunyai permaidani berwarna merah.

Di dalam Raudhah selain terdapat Makam Nabi, juga terdapat Mihrab Nabi (tempat Nabi mengimami solat berjemaah), Mimbar Nabi (tempat Nabi membaca khutbah), Tiang Taubat, Tiang Aishah dan juga Tempat Muazin. Jemaah lelaki digalakkan supaya mengambil peluang untuk solat sunat 2 rakaat di kawasan Mihrab Nabi walaupun seumur hidup sekali. Mudah-mudahan Mihrab Nabi boleh menjadi saksi di akhirat kelak yang kita pernah solat dan sujud di tempat Nabi selalu sujud kepada Allah. Jemaah wanita tidak berpeluang untuk solat di Mihrab Nabi kerana ianya termasuk dalam kawasan lelaki.

Kawasan Raudhah

Bagi jemaah wanita, lawatan ke Raudhah dibahagikan mengikut Zon Masa. Ini kerana Raudhah terletak di kawasan solat jemaah lelaki di bahagian hadapan Masjid Nabawi. Di sebelah pagi waktu lawatan ialah selepas selesai Solat Subuh kira-kira jam 7 pagi sehingga kira-kira 1 jam sebelum masuk waktu Zohor. Di sebelah petang pula, masanya agak singkat iaitu selepas selesai solat Zuhur hingga sebelum masuk waktu Asar. Manakala sebelah malam pula, selepas selesai solat Isyak hingga jam 12 tengah malam.

Kawasan “check point” terakhir jemaah wanita sebelum memasuki Raudhah

Semasa lawatan ke Raudhah, lazimnya jemaah wanita akan dipecahkan mengikut kumpulan dan ditempatkan di beberapa “check point” tertentu. Jemaah Malaysia dikategorikan sebagai jemaah yang berasal dari Asia Tenggara yang termasuk jemaah Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina dan Thailand. Manakala ada kumpulan jemaah dari negara-negara Arab dan juga kumpulan jemaah dari negara India, Pakistan dan Bangladesh. Kelazimannya jemaah dari Asia Tenggara mendapat giliran paling akhir untuk memasuki Raudhah. Boleh jadi jemaah dari negara-negara Asia Tenggara lebih sabar dan tidak banyak kerenah berbanding dari negara-negara lain agaknya.

Laluan ke Raudhah yang telah dipasang kanvas putih sebagai pemisah

Bagi jemaah lelaki, lawatan ke Raudhah tiada had masa. Bila-bila masa boleh dilakukan. Cuma semasa zon masa lawatan jemaah wanita, kawasan Raudhah terbahagi kepada 2 bahagian. Jemaah wanita hanya mendapat kawasan di tiang yang ke3 dan kebelakang, manakala kawasan hadapan dari tiang pertama dan ke-2 diperuntukan kepada jemaah lelaki.

Kelihatan kanvas putih baru mula dipasang sebagai pemisah kawasan lelaki dan wanita dalam Raudhah

Berdoa di dalam Raudhah

Kelazimannya kita sering menerima kiriman doa dari para sahabat dan saudara mara apabila mengetahui kita akan ke tanah suci menunaikan Umrah. Jika dibuka kertas-kertas kiriman doa yang diberi kepada kita nescaya akan menyukarkan kita untuk membacanya satu persatu. Nasihat saya ketika di Raudhah, kita jamakkan sahaja kiriman doa yang kita terima dengan lafaz ” Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau mengetahui segala hajat pada sahabat dan saudaramara yang mengirimkan doa mereka kepadaku di tanah suciMu ini, Kau kabulkan semua doa-doa yang dikirimkan kepadaku ini. Amin Ya Rabbal Alamin.

Bagi jemaah lelaki, selepas solat dan berdoa di Raudhah boleh bangun dan berjalan keluar ke hadapan melalui pintu gerbang kawasan Raudhah menuju ke Makam Nabi. Ucapkan salam kepada Rasulullah s.a.w, Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Omar. Jika ingin berdoa hadapkan muka kita ke arah Qiblat kerana adab berdoa ialah mengadap Qiblat. Jemaah biasa ditegur oleh petugas-petugas Masjid apabila berdoa dengan mengadap Makam Nabi, seolah-olah jemaah memohon sesuatu dari Nabi.

Ziarah Makam Nabi

Selepas ziarah Makam Nabi, kita akan keluar mengikut Pintu yang mengadap Perkuburan Baqi’. Jemaah dinasihatkan bawa bersama kasut atau sandal yang kita pakai (dalam sarung kasut) ketika ingin memasuki Raudhah kerana ziarah dalam ini akan diakhiri di Maqam Nabi dan terus keluar mengikut Pintu yang bertentangan dengan Pintu As-Salam.

 Jemaah keluar selepas menziarahi Makam Nabi. Di bawah kubah hijau ialah kawasan Raudhah dan Makam Nabi

 Untuk makluman, Masjid Nabawi suatu ketika dahulu pernah ditutup kepada jemaah sebaik selesai solat Isyak. Dan ianya dibuka semula kira-kira 1 jam sebelum masuk waktu Subuh. Saya pernah beratur di luar Masjid menunggu pintu masjid dibuka suatu ketika dahulu. Kenapa ditutup ?  Ada kisahnya mengapa ianya pernah ditutup suatu ketika dahulu. Saya cerita di lain topik, insyaAllah. Tetapi sekarang ini Masjid Nabawi dibuka 24 jam. Jemaah yang ingin iktikaf di dalam Masjid Nabawi pada waktu tengah malam hingga ke pagi boleh memasukinya melalui Pintu As-Salam yang terletak di bahagian hadapan Masjid Nabawi sebelah kanan. Pintu-pintu lain akan ditutup selepas selesai solat Isyak kerana pihak berwajib tidak menggalakkan jemaah untuk tidur di dalam Masjid.

Wallahuaklam.

Leave a comment